utama

PKPB Sabah lanjut hingga 9 November [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 9 November, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Atas cadangan kerajaan negeri Sabah dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, maka sidang khas MKN hari ini bersetuju melanjutkan PKPB di seluruh negeri itu," katanya pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, lanjutan itu juga kerana ketika ini Kementerian Kesihatan (KKM) masih meneruskan saringan secara bersasar kepada penduduk dan mendapati masih terdapat peningkatan kes positif Covid-19.

PKPB di Sabah yang bermula 13 Oktober lalu sepatutnya tamat pada Isnin.

Dalam pada itu, katanya, Taman Semarak dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Balung, Tawau, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) 14 hari berkuat kuasa Isnin ini hingga 8 November.

"PKPD di kedua-dua lokaliti ini akan membabitkan 4,266 rumah dengan jumlah 21,470 penduduk dan semua penduduk dikehendaki mematuhi SOP yang ditetapkan antaranya, tidak dibenarkan keluar daripada kawasan PKPD.

"Semua sekolah, masjid dan rumah ibadat lain ditutup sepanjang tempoh ini, namun kelonggaran diberikan kepada kedai-kedai runcit untuk beroperasi mulai jam 6.00 pagi hingga jam 6.00 petang," katanya.

Menurutnya, PKPD itu diputuskan selepas berlaku peningkatan kes Covid-19 dan bagi membolehkan petugas kesihatan KKM melakukan saringan secara bersasar kepada penduduk.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 24, 2020 @ 4:29pm
    d