utama

Ingkar arahan bekerja dari rumah boleh dikenakan tindakan [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Mana-mana majikan mahupun perkhidmatan awam yang ingkar garis panduan ditetapkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak akan terlepas daripada tindakan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap prosedur operasi standard (SOP) termasuk arahan bekerja dari rumah perlu dipatuhi setiap pihak.

"Arahan bekerja dari rumah, (mana-mana) majikan berkaitan perlu patuh kepada setiap arahan dikeluarkan.

"Jika daripada jabatan kerajaan saya harap patuh panduan dikeluarkan ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, (namun) kalau masih ingkar saya akan bangkitkan supaya diperbetulkan apa yang tidak betul berlaku di jabatan kerajaan itu.

"(Begitu juga) kalau membabitkan majikan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) saya akan bangkitkan kepada MITI terutama kepada menterinya sendiri kerana ada ingkar dan tidak patuh arahan ini," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas masih ada segelintir majikan dan sektor perkhidmatan awam yang ingkar arahan bekerja dari rumah sepanjang PKPB.

Mengenai kesalahan mengadakan mesyuarat di kawasan PKPB di pejabat pula, Ismail Sabri menegaskan kompaun boleh dikenakan ke atas majikan yang ingkar.

"Kalau ada pelanggaran seperti itu, tindakan boleh diambil sama ada kompaun dan sebagainya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 4, 2020 @ 6:00pm
    d