utama

PKPB di 3 lagi mukim

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Mukim Parit Buntar, Perak; Mukim Rasau, Dungun, Terengganu dan Mukim Jimah, Port Dickson, Negeri Sembilan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 7 November hingga 20 November ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini turut membentangkan situasi semasa kes Covid-19 di Mukim Parit Buntar, Perak.

"Sehingga 3 November, KKM mengesahkan sebanyak 12 kes positif Covid-19 direkodkan dan penilaian risiko oleh KKM menunjukkan trend peningkatan kes terus berlaku di mukim ini.

"PKPB ini akan membabitkan seramai 45,359 orang penduduk dengan jumlah 7,847 unit rumah di mana pelaksanaan PKPB ini juga bagi membolehkan KKM

melaksanakan saringan secara bersasar di mukim ini," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKPB di Mukim Rasau, Dungun, Terengganu pula apabila KKM melaksanakan 2,823 saringan dan mengesahkan sebanyak 25 kes positif Covid-19 direkodkan di mukim ini, setakat semalam.

"Atas nasihat dan penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju melaksanakan PKPB membabitkan seramai 43,687 orang penduduk.

"PKPB Mukim Jimah, Port Dickson, Negeri Sembilan pula selepas saringan KKM mendapati sebanyak 11 kes positif Covid-19 direkodkan dalam masa seminggu dan kesemuanya adalah kes bergejala setakat 3 November," katanya.

Beliau berkata, PKPB ini akan membabitkan 24,540 orang penduduk di mana pelaksanaan PKPB ini bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar di mukim ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 5, 2020 @ 5:19pm
    d