utama

PKPD di 2 lagi lokasi [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokasi selama 14 hari berkuat kuasa Jumaat ini hingga 10 Disember depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain kawasan taman perumahan di Mukim Sungai Seluang, Kulim di Kedah, PKPD akan turut dikuatkuasakan di Taman Telipok Ria di Tuaran, Sabah.

"Bagi Mukim Sungai Seluang, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menjalankan 197 ujian saringan secara bersasar dengan 50 kes positif Covid-19 direkodkan.

"Berdasarkan penilaian risiko dan nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju melaksanakan PKPD di taman-taman perumahan di Mukim Sungai Seluang, Kulim selama 14 hari bermula 27 November hingga 10 Disember ini.

"Pelaksanaan PKPD ini membabitkan 1,412 rumah dengan anggaran 6,000 penduduk memmbabitkan Taman Bayam, Taman Bayam Indah, Taman Kangkong 1 dan 2, Taman Halia, Taman Cekur Manis, Taman Kobis, Taman Sawi dan Taman Seri Limau," kataya pada sidang media harian, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKPD di Taman Telipok Ria di Tuaran, Sabah dilaksanakan susulan merekodkan sebanyak 253 kes positif Covid-19.

"Sehingga kini masih terdapat 581 sampel saringan yang masih menunggu keputusan.

"Pelaksanaan PKPD ini melibatkan keluasan kawasan 229,459 meter persegi, 3,400 unit rumah dan 18,000 orang penduduk," katanya.

Sementara itu, menurut Ismail Sabri, kerajaan juga memutuskan untuk menamatkan PKPD di Kampung Pengaraban, Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Landung Ayang, Kudat, Sabah pada 26 November (esok) sebagaimana yang dijadualkan.

"KKM melaksanakan sebanyak 3,084 ujian saringan dan sebanyak 345 kes kumulatif positif Covid-19 direkodkan di ketiga-tiga lokaliti.

"Berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM mendapati situasi Covid-19 di lokaliti-lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 5:53pm
    d