utama

Covid-19: 1,325 kes baharu, 4 kematian hari ini

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kes baharu Covid-19 hari ini merekodkan sebanyak 1,315 kes menjadikan jumlah kumulatif 63,176 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 1,310 kes adalah penularan tempatan manakala lima kes import.

Katanya, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan 11,508 kes.

"Sabah masih melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 476 kes (36.2 peratus), yang mana 406 kes (85.3 peratus) adalah hasil saringan kluster dan kontak rapat kes positif Covid-19 yang giat dijalankan di lapangan.

"Ia diikuti oleh Selangor sebanyak 266 kes (20.2 peratus) dan Kuala Lumpur sebanyak 191 kes (14.5 peratus)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 112 kes (8.5 peratus) pula adalah berkaitan kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara membabitkan Kluster PTS Sibuga (99 kes), Kluster Tembok (lapan kes), Kluster Penjara Reman (dua kes), Kluster Rumah Merah (dua kes), dan Kluster Penjara Kepayan (satu kes).

Menurutnya, kes sembuh dicatatkan hari ini adalah 1,110 menjadikan jumlah kumulatif 51,314 atau 81.2 peratus daripada jumlah keseluruhan.

"Empat kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 354 kematian.

"Seramai 118 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 43 kes memerlukan bantuan alat pernafasan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 6:35pm
    d