utama

Jumlah kes aktif Covid-19 hampir lepasi kapasiti

Oleh Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia sudah menghampiri kapasiti di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) dan hospital yang diwartakan untuk merawat pesakit pandemik itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini kes aktif mencecah 22,089 manakala kapasiti untuk rawatan pesakit adalah 23,000.

Beliau berkata, pihaknya melihat kes semakin meningkat setiap hari terutama membabitkan kes tahap satu dan dua yang kini hampir mencecah antara 89 hingga 90 peratus daripada keseluruhan kes dilaporkan di Malaysia.

"Mereka perlu ditempatkan di PKRC dan kemudahan itu sudah penuh ketika ini. Kita masih melihat dan memberi keutamaan terhadap kes tidak ada tempat sesuai untuk mereka dikuarantin seperti pekerja asing yang kita tempatkan di PKRC di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS)," katanya pada sidang media mengenai perkembangan jangkitan Covid-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, ketika ini KKM sedang melihat kriteria sama ada kes tahap satu dan dua boleh dikuarantinkan di rumah.

Beliau berkata, ketika ini ada kelewatan untuk petugas kesihatan menghantar pesakit disahkan positif menjalani rawatan di hospital dan PKRC.

Katanya, kemampuan hospital dan PKRC adalah terhad, namun masih boleh menampung pesakit walaupun sudah hampir mencecah kapasiti sedia ada.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 4, 2021 @ 9:31pm
    d