utama

Vaksin Covid-19 Fasa 1 tiba 26 Februari [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Vaksin Covid-19 fasa pertama daripada syarikat farmaseutikal Pfizer dijangka tiba di negara ini pada 26 Februari ini akan diagihkan ke negeri-negeri secara berperingkat sebelum ia disuntik kepada penerima.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya menjangkakan agihan vaksin itu akan selesai dalam tempoh dua minggu.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima lebih 3,000 permohonan untuk menjadi sukarelawan dalam Kajian Klinikal Fasa 3 vaksin Covid-19.

"Permohonan yang menggalakkan itu menyebabkan kita terpaksa membuat pemilihan dan tapisan berdasarkan kelayakan tertentu.

"Kita mahu 3,000 sukarelawan, tetapi yang mohon ramai, jadi kita akan pilih dan setakat ini, lebih 1,000 sukarelawan sudah disuntik dalam kajian klinikal ini," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Malaysia pada 24 November tahun lalu mengumumkan negara akan mendapatkan bekalan awal sebanyak 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada syarikat Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM masih menggunakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang ketika ini masih dalam proses untuk pindaan.

"Akta 324 ini masih digunakan, tetapi kita guna Ordinan Darurat untuk membantu pelaksanaan Akta 342.

"Sebagai contoh, daripada segi sijil amalan yang mana kita khususkan doktor atau jururawat di sesuatu tempat dan ketika ini, kita gunakan Ordinan Darurat yang membenarkan jururawat dan doktor berkhidmat di tempat-tempat lain sama ada awam atau swasta bergantung kepada keperluan," katanya.

Terdahulu, KKM menyerahkan draf pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kepada Peguam Negara bagi mengkaji semula kadar kompaun ke atas individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Pindaan Akta 342 diperlukan berikutan jumlah kompaun maksimum yang diperuntukkan adalah RM1,000 dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, nilai kompaun kerana ingkar dan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan perlu dinaikkan susulan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 1, 2021 @ 4:24pm
    d