utama

Nenek bebas virus!

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: "Syukur, nenek saya yang berusia 87 tahun selamat daripada wabak Covid-19," kata Mohd Ekhwan Mohd Effandie.

Mohd Ekhwan, 28, adalah cucu kepada Maimunah Mohd Noah, 87, yang juga penghidap penyakit darah tinggi dan sakit jantung yang kini berstatus bekas pesakit Covid-19 awal Februari lalu.

Kongsinya, neneknya mempunyai enam orang anak, 28 cucu termasuk dirinya serta 33 cicit.

Gembira dengan perkhabaran itu, Mohd Ekhwan kemudian memuat naik kisah itu di akaun Twitter miliknya dan tidak menjangka ciapan itu mendapat perhatian warganet.

Mohd Ekhwan berkata, bukan saja neneknya, tiga daripada ahli keluarga bapa saudara dan ibu saudaranya juga dijangkiti wabak itu.

"Nenek saya ke rumah bapa saudara di Nilai untuk berubah 'angin' kerana sudah lama tinggal di Johor Bahru pada 10 Januari lalu.

"Tetapi tidak menyangka perjalanan kali ini membawa beliau terpaksa tidur di wad Covid-19 Hospital Tuanku Jaafar Seremban," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, semua ahli keluarganya sudah dibenarkan keluar hospital kecuali menantu neneknya yang kini menjalani rawatan lanjut di Hospital Tampin, Negeri Sembilan.

Menurutnya, sebaik saja mengetahui neneknya dijangkiti Covid-19, seluruh ahli keluarga tidak senang duduk apatah lagi mengetahui golongan berusia berdepan risiko komplikasi dan kadar kematian tinggi.

"Nenek dimasukkan ke hospital dari 28 Januari dan discaj pada 2 Februari. Sememangnya semua ahli keluarga berasa sedih dengan dugaan ini pada mulanya.

"Keluarga sudah berusaha untuk mengelak dan menjaga kesihatan diri sebaik mungkin, tetapi kami reda dengan ketentuan Ilahi ini," katanya.

Mohd Ekhwan berkata, dugaan yang menimpa keluarganya itu membuatkan dirinya lebih berhati-hati apatah lagi dia juga mempunyai seorang anak yang masih kecil berusia tiga tahun.

Katanya, panggilan video menjadi medium komunikasi bertanya keadaan kesihatan diri keluarganya ketika dikuarantin.

"Mereka juga berkongsi pengurusan pesakit Covid-19 di hospital mahupun pusat kuarantin sangat mesra pengguna.

"Penggunaan telefon untuk berhubung tidak pernah disekat malah, layanan petugas kesihatan juga sangat baik," katanya.

Berkongsi petua penjagaan kesihatan neneknya, Mohd Ekhwan berkata, pemakanan yang berkhasiat dan kerap makan buah-buahan mungkin menjadi faktor kesihatannya masih baik sehingga kini.

Terdahulu, perkongsiannya mengenai neneknya seorang coronavirus survivor tular di media sosial dan diulang ciap lebih 3,000 kali dan menerima lebih 18,000 tanda suka setakat ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 16, 2021 @ 7:01am
    d