utama

Usah terlalu mengharap

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Jangan meletakkan harapan tinggi kepada prestasi awang import musim ini apabila rata-rata daripada mereka hanya bergaji sekitar RM30,000 hingga RM40,000 berbanding tahun lalu yang mencecah sehingga RM60,000.

Tindakan beberapa pasukan yang mengurangkan bajet untuk mengambil pemain import saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2021 menimbulkan persoalan sejauh mana kemampuan mereka dalam membantu meraih kejayaan nanti.

Pengurangan peruntukan disebabkan kekurangan penajaan selain kesan daripada pandemik Covid-19 menyaksikan ada antara pasukan terpaksa menanggung risiko mengambil pemain import bergaji murah dan tidak terkenal untuk menguatkan kesebelasan utama mereka.

Pengarah Urusan Action Football Asia Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata, kebanyakan pasukan Liga M mengambil langkah berhati-hati dalam perbelanjaan masing-masing dan tidak berbelanja mewah dalam mendapatkan pemain import.

Beliau berkata, prestasi pemain import yang diambil kebanyakan pasukan Liga M hanya boleh diketahui sebaik saingan liga bermula nanti.

"Kita tidak boleh menyalahkan pasukan mengurangkan peruntukan gaji pemain import kerana langkah terbaik diambil bagi mengelak mereka menghadapi masalah tunggakan gaji. Cuma ketika ini prestasi pemain import berkenaan tidak boleh diletakkan harapan tinggi kerana mereka bukannya datang daripada pasukan terkenal.

"Jika prestasi mereka bermain dengan baik dan memberi impak positif kepada pasukan sudah tentu ia adalah pembelian yang berbaloi," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Ketika ini semua pasukan Liga Super hampir melengkapkan pembelian pemain import mereka kecuali PJ City yang dilihat mengambil tindakan berani dengan menggunakan 100 peratus tenaga tempatan pada musim ini.

Selain itu, Effendi berkata, pengurangan gaji pemain import tidak bermakna akan menjejaskan minat mereka untuk beraksi di Liga M pada masa akan datang kerana memahami situasi ketika ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Jika pemain import berkenaan bersetuju dengan tawaran daripada pasukan yang hanya boleh memberikan gaji kecil, tiada masalah dan ketika ini tiada garis panduan ditetapkan untuk pendapatan mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 22, 2021 @ 7:01am
    d