utama

Kompaun langgar PKP kini RM10,000 [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Individu yang dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh dikenakan kompaun RM10,000 mulai hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, langkah itu berikutan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai 12.01 tengah malam tadi.

"Notis kompaun yang ditulis adalah bernilai RM10,000 jika melanggar SOP namun, ia bergantung kepada budi bicara pegawai yang diberi kuasa iaitu Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) untuk menetap nilai sebenar kompaun yang dikenakan.

"Keputusan menaikkan nilai kompaun itu bagaimanapun bukan untuk menghukum orang ramai secara berlebih-lebihan atau membolehkan kerajaan mengutip wang daripada orang ramai.

"Tetapi ia semata-mata untuk sedarkan orang ramai bahawa virus ini masih berada di mana-mana sekiranya kita lupa," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Abdul Hamid berkata, individu yang dikenakan kompaun boleh memohon rayuan kepada PKD dan akan dipertimbangkan jumlah bayaran.

"Pegawai polis akan menawarkan kompaun, mereka akan menulis notis kompaun bernilai RM10,000 dan dalam tempoh dua minggu, pesalah perlu membayar kompaun berkenaan.

"Namun pesalah boleh membuat permohonan rayuan, ia bergantung kepada budi bicara PKD untuk menetapkan jumlah sebenar nilai kompaun berkenaan," katanya.

Menurutnya, pihaknya akan mengesan individu yang melakukan kesalahan berulang menerusi sistem yang dibangunkan, dengan mereka boleh dikenakan kompaun maksimum itu bergantung kepada kesalahan dilakukan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 11, 2021 @ 1:12pm
    d