utama

Sedia puasa di ibu kota

Oleh Muhammad Saufi Hassan dan Muhamaad Razis Ismail

Kuala Lumpur: "Saya sudah buat persediaan awal untuk menyambut Ramadan di ibu kota," kata Ketua Unit Bahagian Pembangunan Perniagaan GiatMara Malaysia, Aman Redza Radzi.

Aman Redza, 39, berkata, melihat keadaan semasa dengan kes Covid-19 yang masih tinggi, peluang agak tipis untuk kerajaan membenarkan rakyat merentas negeri.

Katanya, biarpun sedih dengan perkembangan itu, dia dan keluarga reda tidak dapat berpuasa di kampung.

"Pengalaman berpuasa tahun lalu banyak mengajar kita. Demi keselamatan bersama dan keluarga di Sungai Petani, Kedah, saya akur.

"Kemeriahan berpuasa di kampung sudah tentu lebih dirasai, namun dengan kebiasaan baharu yang diamalkan sejak tahun lalu, saya kira ia bukan masalah besar," katanya.

Jelasnya, dia banyak memanfaatkan kemudahan teknologi untuk lebih mengeratkan hubungan kekeluargaan.

"Tahun lalu mungkin agak janggal namun kini ia sudah menjadi kebiasaan baharu untuk berhubung menerusi panggilan video. Ibu bapa pun sudah tidak kekok menggunakan telefon pintar.

"Adakalanya kami adik-beradik dan ibu bapa akan berpakat berbuka puasa dan membaca surah Yasin menggunakan panggilan video," katanya.

Dia turut berharap kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan kepada operasi bazar Ramadan dan solat Tarawih dimanfaatkan sebaik mungkin.

"Jangan lupa kita masih belum menang dan terus patuhi prosedur operasi standard (SOP). Jika ada rezeki insya-Allah kita dapat pulang beraya," katanya.

Reda tak bersama pada 'hari mantai'

"Sudah menjadi tradisi keluarga untuk pulang ke kampung bagi menyambut hari mantai sebelum kedatangan Ramadan. Namun ia tidak dapat dilakukan ketika ini akibat penularan Covid-19.

"Kami juga tidak dapat menunaikan solat pertama Tarawih bersama ibu bapa seperti dulu."

Itu luahan perantau, Mohd Fadly Daud, 43, berhubung sambutan Ramadan kali ini yang cukup berbeza berbanding beberapa tahun lalu.

Hari mantai adalah sambutan sebelum kedatangan Ramadan untuk penduduk Negeri Sembilan dan secara tradisinya, anak akan pulang ke kampung untuk memasak pelbagai juadah serta hidangan.

Mohd Fadly berkata, dia mengharapkan Ramadan kali ini pasti berbeza dengan tahun lalu namun tidak menyangka bahawa situasi pandemik masih membimbangkan dan situasi jangkitan tidak menentu.

"Jika menyebut mengenai Ramadan, pastinya kami, anak Negeri Sembilan akan pulang ke kampung bersama ahli keluarga lain untuk menyambutnya.

"Hari mantai ini umpama hari penting kami dan pastinya saya amat merindui situasi berkenaan iaitu berkumpul bersama keluarga serta menggembirakan hati ibu bapa.

"Seperti Ramadan terdahulu, saya dan ahli keluarga lain sememangnya akan pulang ke kampung untuk menyambut Ramadan pertama dan berbuka puasa pada hari pertama," katanya kepada Metro Ahad.

Menurutnya, ia adalah kenangan paling indah sebelum situasi pandemik dan perkara berkenaan paling dirinduinya terutama untuk Ramadan serta Syawal kelak.

"Jika saya imbau kembali, setiap kali Ramadan, kami akan pulang berbuka puasa pada hari pertama dan mengerjakan solat sunat Tarawih.

"Jika dikenang semula memang sedih, namun kita perlu bersabar sehingga situasi pandemik ini reda kelak," katanya.

Dia turut berharap kerajaan akan membenarkan rentas negeri ketika sambutan Syawal.

Nilai sentimental iftar bersama famili

Ramadan di Kelantan cukup meriah sehingga ada yang sanggup pulang biarpun hanya bercuti pada hujung minggu.

Timbalan Pengerusi Himpunan Penggiat Dikir Barat Profesional Malaysia, Mohd Sulhie Yusuf berkata, pada hari pertama berpuasa, seboleh-bolehnya mereka akan berkumpul berbuka puasa bersama ahli keluarga di kampung.

Katanya, ia tradisi sejak turun-temurun sehingga ada yang sanggup memandu menempuh perjalanan selama lapan jam.

"Tradisi berbuka puasa beramai-ramai bersama ahli keluarga di kampung ada nilai sentimental. Ia secara tidak langsung mengeratkan hubungan kekeluargaan dan mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pada tahun lalu, tradisi itu tidak dapat diteruskan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami sangka tahun ini dapat pulang ke kampung, namun keadaan sebaliknya berlaku.

"Ramai yang terkesan apabila perancangan untuk berpuasa di kampung bersama ibu bapa tidak kesampaian," katanya.

Beliau yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan berkata, daripada sudut positif, ia langkah terbaik apabila kerajaan tidak membenarkan rentas negeri untuk memastikan keselamatan masyarakat.

"Saya harap semua akur dan bersabar kerana ia dilakukan untuk manfaat bersama. Saya percaya ibu bapa di kampung pun faham perkara ini.

"Namun jauh di sudut hati, saya harap pengorbanan berpuasa di ibu kota berbaloi apabila dapat menyambut Aidilfitri di kampung halaman," katanya.

Gesa percepat fasa vaksin seterusnya

Kerajaan perlu mempercepatkan program vaksinasi membabitkan fasa seterusnya untuk mendepani pandemik Covid-19.

Ia sekali gus menjadikan negara mencapai tahap imuniti kelompok lebih awal daripada pelan asal iaitu sekitar suku pertama tahun depan.

Perkara itu dicadangkan oleh Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.

"Kita sangat faham langkah kerajaan untuk mengetatkan kawalan khusus bagi rentas negeri menjelang Ramadan ini.

"Langkah untuk mempercepatkan suntikan vaksin ini membolehkan negara mencapai status imuniti kelompok atau dengan bahasa lebih mudah, kita sudah mencapai suatu tahap ketahanan untuk rakyat negara ini.

"Kita lihat situasi pandemik ini sudah memasuki tahun kedua dan sangat mengharapkan supaya semua langkah yang diambil terutamanya program vaksinasi, dapat mengurangkan jangkitan," katanya kepada Metro Ahad.

Pada masa sama, Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM), Leftenan Kolonel (Kehormat) Che Hassan Che Johan turut menjangkakan bahawa sambutan Syawal juga tidak banyak berubah seperti tahun lalu.

Beliau berkata, jika kerajaan membenarkan rentas negeri kelak, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mesti dipatuhi setiap masa termasuk mengelakkan kawasan sesak.

"Saya menjangkakan untuk Syawal nanti, tidak banyak berubah berbanding tahun lalu apabila kerajaan masih mengetatkan untuk kebenaran rentas negeri.

"Situasi semasa jangkitan juga tidak menentu manakala program vaksinasi masih berjalan dan kita juga turut mengharapkan program suntikan vaksin ini dipercepatkan untuk fasa seterusnya," katanya.

Pendekatan terbaik kurangkan jangkitan

Langkah kerajaan untuk mengetatkan rentas negeri sepanjang Ramadan ini sememangnya pendekatan terbaik untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Selain itu, ia juga dapat mengelakkan penularan kluster baharu membabitkan anak perantau yang pulang untuk menyambut Ramadan di kampung halaman.

Itu pandangan Presiden Kelab Perantau 11, Fairuz Mohamad, berikutan langkah kerajaan mengetatkan pemeriksaan bagi sekatan jalan raya terutama untuk rentas negeri.

"Dalam norma baharu ini, apa jua saranan kerajaan sememangnya untuk kebaikan rakyat dan negara.

"Kita lihat dalam minggu ini, indeks kes positif masih dalam trend menaik empat angka dan ada kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Ini menunjukkan rakyat kita belum sedar dan perlu mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada," katanya kepada Metro Ahad.

Fairuz berkata, langkah untuk mengetatkan rentas negeri itu adalah pendekatan paling wajar bagi mengelakkan sebarang kluster baharu daripada perantau.

"Oleh demikian, wajarlah diperketatkan SOP, tambahan pula Ramadan kali ini sudah dibenarkan pembukaan bazar Ramadan.

"Mahu atau tidak, anak perantau mesti sekali lagi menyambut perayaan di perantauan dengan norma baharu sehingga kita mencapai imuniti kelompok kelak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 11, 2021 @ 8:01am
    d