utama

Polis terima surat 7 kementerian, tiga agensi kerajaan sahaja [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya menerima pakai surat pengesahan untuk pekerja yang dikeluarkan oleh tujuh kementerian dan tiga agensi kerajaan sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (SPP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ia membabitkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC).

Menurutnya, surat pengesahan dikeluarkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga diterima.

"Surat pengesahan dikeluarkan MITI bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan dan surat pengesahan oleh MOT, pula untuk sektor pengangkutan awam dan barangan keperluan.

"Surat pengesahan dikeluarkan MAFI adalah untuk sektor pertanian, perikanan, penternakan, perladangan dan komoditi.

"MAFI hanya akan mengeluarkan surat pengesahan kepada pekebun kecil yang mempunyai lesen di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan surat akan dikeluarkan melalui sistem Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0," katanya ketika ditemui ketika meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Duta di sini, hari ini.

Menurutnya, untuk sektor di bawah MPIC pula, surat pengesahan dikeluarkan untuk perladangan dan pengeluaran hasil komoditi seperti kelapa sawit, getah dan sebagainya.

Katanya, bagi pemegang permit dan lesen Lembaga Getah Malaysia (LGM) seperti pekebun kecil, estet, nurseri, peniaga getah, pedagang dan pengilang getah boleh menggunakan surat pengesahan dikeluarkan MPIC atau LGM.

Beliau berkata, untuk pengilang produk getah seperti sarung tangan, surat pengesahan akan dikeluarkan MITI melalui CIMS 3.0.

Acryl juga berkata, surat pengesahan yang dikeluarkan KKMM adalah bagi perkhidmatan telekomunikasi, media, pos, kurier dan penyiaran.

"PDRM turut menerima pakai surat pengesahan dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi sektor institusi kewangan dan insurans, Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang berkaitan sektor urus niaga saham dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi sektor peniaga kecil dan penjaja gerai makanan serta kenderaan saji (food truck).

"Namun, pengeluaran lesen berniaga bagi pengurusan sisa pepejal dan sanitasi, surat pengesahan akan dikeluarkan MITI melalui CIMS 3.0," katanya.

Sementara itu, katanya, semua surat pengesahan yang dikeluarkan oleh agensi di bawah KDN seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan sebagainya akan diterima pakai untuk kebenaran pergerakan.

Menurutnya, untuk pengoperasian firma guaman dengan kakitangan seramai 20 peratus, surat pengesahan akan dikeluarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui sistem CIMS 3.0.

"Pengamal undang-undang yang perlu hadir ke mahkamah untuk mewakili anak guam dalam kes baharu seperti reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah perlu menunjukkan dokumen bercetak atau surat firma guaman semasa di SJR.

"Semua surat pengesahan itu, mesti bertarikh 1 Jun lalu dan mereka yang tiada sebarang surat pengesahan atau sudah tamat tempoh (sebelum 1 Jun) akan diarahkan berpatah balik.

"PDRM juga akan mengeluarkan permit pergerakan bagi mereka yang layak mengikut peraturan rentas sempadan iaitu untuk ziarah kematian, kecemasan dan mereka yang bekerja sendiri," katanya.

Katanya, individu yang bekerja sendiri seperti tukang paip, penyelenggaraan, penjaja tepi jalan yang tiada majikan pula, permohonan kebenaran bergerak perlu diperolehi daripada PDRM secara 'one off' (1 Jun hingga 14 Jun).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 6, 2021 @ 9:36pm
    d