utama

Malaysia bangunkan vaksin Covid-19 [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Malaysia membangunkan vaksin Covid-19 melalui kerjasama Institut Kajian Perubatan (IMR) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, vaksin jenis messenger ribonucleic acid (mRNA) atau teknologi jujukan genetik pemutus itu masih dalam proses pembangunan.

Menurutnya, ia mula dibangunkan pada November tahun lalu dan kini di peringkat pengklonan genetik sasaran iaitu merangkumi varian asal virus dan varian lain SARS-CoV-2.

"Selepas proses pembangunan itu selesai, kajian keberkesanan vaksin membabitkan kajian praklinikal untuk haiwan kecil dan besar.

"Kajian klinikal itu dijangka mengambil masa beberapa bulan lagi sebelum kajian klinikal manusia dapat dijalankan," katanya dalam sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.

Turut sama dalam sidang media itu Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

Dr Adham berkata, proses pendaftaran dan pengilangan vaksin mRNA itu akan dilakukan sebaik semua ujian klinikal berkenaan berhasil.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 21, 2021 @ 3:29pm
    d