utama

'Cepatnya ibu dan ayah pergi..'

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Sik: "Ibu dan ayah pernah berjanji sehidup semati. Selepas dijangkiti Covid-19, Allah jemput mereka selang 24 jam sahaja dan kami adik-beradik reda pemergian keduanya," kata Zuriyani Ramli, 42.

Dia yang masih dirawat di Hospital Sik akibat positif Covid-19 berkata, ibunya, Salmah Shariff, 75, meninggal dunia pada 11.50 malam Jumaat lalu, selepas dimasukkan ke wad pada 11 malam hari sama.

Ayahnya, Ramli Awang, 83, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di hospital sama pada 12 tengah malam semalam.

Zuriyani berkata, dia sempat membacakan surah Yasin dan mengajar ayahnya mengucap dua kalimah syahadah kerana mereka berdua dirawat di wad yang sama.

"Sebelum dimasukkan ke wad, saya sudah seminggu demam dan batuk, namun demam sudah kebah dan saya ke hospital untuk mengambil ubat batuk pada Jumaat lalu. Namun, doktor meminta saya melakukan ujian saringan dan disahkan positif Covid-19.

"Saya kemudian meminta adik menghubungi ambulans bagi mengambil ibu dan ayah ke hospital kerana mereka menjadi kontak rapat di rumah. Keadaan ayah agak tenat kerana dia menghidap strok sejak beberapa tahun lalu, dan kerap demam.

"Ibu pula tidak demam kecuali batuk dan letih, namun selepas disahkan positif Covid-19, keadaan ibu menjadi tidak stabil dan meninggal di Jabatan Kecemasan Hospital Sik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anak keempat daripada sembilan beradik itu berkata, dia menjaga ayahnya di rumahnya di Kampung Kota Bukit, Jeneri, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, manakala ibunya pada awal PKP itu.

Katanya, sebelum ini, kedua-dua mereka tinggal bersama adik lelakinya Rozainal, 31, yang masih bujang di rumah keluarga di Kampung Batu 9, Jalan Jeniang, dekat sini.

"Bayangkan pada malam pertama saya di wad, saya menerima berita kematian ibu, manakala ayah pula berada dalam keadaan tenat, hanya air mata yang menemani saya selepas tidak dapat melihat dan mengucup dahi ibu buat kali terakhir.

"Saya hanya fikir perlu kuat kerana masih ada ayah di wad, saya pergi menjenguknya dan membaca Yasin, namun pada tengah malam semalam, ayah pula pergi selamanya di hadapan saya," kata ibu kepada lima anak ini.

Zuriyani berkata, sebelum pemergian ibu dan ayahnya, mereka selalu menyebut untuk menyambut Aidiladha bersama anak dan cucu beramai-ramai.

"Namun, Allah lebih sayangkan mereka, ibu ayah adalah pasangan yang sangat bahagia dan menjadi contoh kepada anak, mereka selalu beri nasihat supaya kami tidak tinggal solat.

"Kini tiada lagi kata nasihat mereka dan jenazah ibu dan ayah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Batu 9, petang semalam," katanya dalam nada sebak.

Zuriyani memberitahu, dia tidak tahu bagaimana dirinya boleh dijangkiti Covid-19 berikutan hanya berada di rumah menguruskan rumah tangga dan menjaga orang tuanya.

"Kelima-lima anak berusia antara enam hingga 20 tahun bersama suami Rasyidi Yaacob, 43, kini sedang dikuarantin di rumah, manakala adik-beradik saya turut difahamkan akan menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini.

"Keadaan saya pula beransur pulih dan tidak mengalami demam lagi kecuali hanya mengalami batuk lagi," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo ketika dihubungi memaklumkan, suami isteri itu dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sikpada Jumaat lalu, dengan gejala jangkitan salur pernafasan dan disahkan Covid-19.

Katanya, kematian pasangan itu adalah disebabkan masalah pneumonia akibat dijangkiti virus Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: July 12, 2021 @ 10:01am
    d