utama

Sekolah dibuka berperingkat mulai 1 September

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka mulai 1 September ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan hari ini berkata, mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19, sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan sehingga 31 Ogos.

"Ketetapan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

"KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat terus ditingkatkan," menurut kenyataan itu.

Sehingga 16 Julai lalu, 253,366 guru dan pentadbir (61.30 peratus) serta 10,876 kakitangan sokongan (46.33 peratus) sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

KPM akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara bagi melihat sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh tersebut.

"KPM akan memaklumkan perincian lanjut mengenai pembukaan sekolah bagi sesi PdP secara bersemuka selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka," kata KPM.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: July 17, 2021 @ 5:45pm
    d