vroom

Pengeluar kenderaan tangguh operasi

Oleh Lizam Ridzuan

SEBAGAI langkah Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan untuk mengawal penularan virus Covid-19 di negara ini, semua pengeluar dan pengedar kenderaan menutup operasinya bermula hari ini sehingga 31 Mac 2020.

Honda Malaysia, Perodua, Edaran Tan Chong Motor (ETCM), Proton dan UMW Toyota mengeluarkan kenyataan media semalam yang menangguhkan segala operasinya termasuk pengeluaran, pusat jualan, servis dan alat ganti.

Namun jika terdapat isu pada kenderaan serta pertanyaan berkaitan, talian hotlinde dan bebas-tol mereka tetap dibuka dan beroperasi seperti biasa.

Pengguna kenderaan Honda boleh menghubungi Bantuan Jalanan Honda dan Honda Insurance Plus Hotline (HIP) di talian 1800-18-117 .

Untuk pengguna Perodua boleh menguhubungi talian bebas-tol Perodua Auto Assist di 1-800-88-5555 yang beroperasi selama 24 jam sehari dan 7 hari seminggu.

Buat pemilik kenderaan Nissan di negara ini terutama melalui Tan Chong Ekspres Auto Servis (TCEAS), penasihat jualan akan menghubungi pengguna sama ada melalui telefon, SMS atau aplikasi DriveOn untuk penjadualan semula temujanji servis dan maklumat lanjut lain boleh layari www.nissan.com.my.

Pemilik Proton boleh menghubungi talian 1-800-888-398 jika berlaku kecemasan seperti kenderaan rosak atau kemalangan untuk bantuan segera yang beroperasi selama 24 jam. Juga untuk sebarang pertanyaan dan maklumbalas boleh e-mel ke customercare@proton.com.

Buat pemilik Toyota dan Lexus di negara ini untuk sebarang maklumat dan bantuan boleh menghubungi talian percuma Toyota di 1800-8-TOYOTA (869682) atau 1800-88-LEXUS (53987).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 11:40am
    d