vroom

Festival TGR dibatalkan

Oleh Lizam Ridzuan

SELEPAS penutupan operasi sebagai langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan untuk mengawal penularan virus Covid-19 di negara ini sehingga 31 Mac 2020, UMW Toyota (UMWT) turut mengambil pendekatan lain yang proaktif.

Melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh syarikat itu baru-baru ini, mereka juga memutuskan untuk membatalkan acara Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) dan Toyota Vios Challenge musim ketiga pusingan empat yang dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 19 April hadapan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Meskipun UMWT sebelum ini mengumumkan yang acara itu bakal dijalankan secara tertutup, namun mengambil kira faktor keadaan semasa mereka kemudian memutuskan untuk tidak meneruskannya.

Presiden UMWT Ravindran K berkata, keputusan dibuat demi memastikan keselamatan dan kesihatan kepada semua pekerja, kru pasukan yang bertanding serta orang ramai.

“Kami harus patuhi arahan daripada Kerajaan dan dalam masa sama keputusan ini dilakukan demi untuk kebaikan semua pihak,” katanya.

Festival TGR dan Toyota Vios Challenge musim ketiga sudah dilangsungkan di Kuala Terengganu, Terengganu, Bandar Malaysia Kuala Lumpur dan Batu Kawan, Pulau Pinang sebelum acara kemuncak akhir di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang terpaksa dibatalkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 5:22pm
    d