vroom

Servis kenderaan Honda

Oleh Lizam Ridzuan

SELEPAS penutupan operasi di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Honda Malaysia kembali beroperasi secara berperingkat mulai hari ini untuk perkhidmatan selepas jualan, terutama tujuan servis kenderaan mereka.

Selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), segala prosedur di premis serta peraturan yang ditetapkan bagi keselamatan dan kesihatan kepada pekerja serta pelanggan akan dilaksanakan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata sebagai mematuhi lanjutan PKP, setiap pelanggan mereka juga perlu memastikan kenderaan dalam keadaan yang baik.

"Melalui pusat servis yang kembali beroperasi ini ia akan memberikan kelegaan kepada pelanggan selain kami turut memastikan langkah pencegahan mengekang penularan virus Covid-19 dilakukan di semua cawangan pengedar terlibat," katanya dalam satu siaran media.

Antara langkah yang perlu dipatuhi pelanggan ialah mereka yang mencatatkan suhu 37.5 darjah selsius dan ke atas serta mempunyai simptom demam, batuk atau sesak nafas akan diminta meninggalkan segera premis.

Selain itu jumlah individu yang terlibat juga akan diminimumkan selain penjarakan sosial serta pelanggan perlu melakukan temujanji untuk tempahan servis.

Semua pengedar terlibat kini memperaktikan untuk pelanggan meninggalkan kenderaan di premis servis terbabit dan hanya berkomunikasi menggunakan telefon bersama penasihat servis sebelum mengambilnya semula selepas siap.

Buat masa ini hanya pusat servis yang dibuka dengan ruang pameran, pejabat jualan dan kilang pengeluaran Honda Malaysia masih lagi belum beroperasi.

Maklumat lanjut mengenai senarai cawangan pengedar yang dibuka sepanjang tempoh PKP ini boleh layari www.honda.com.my

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 2:42pm
    d