vroom

Prosedur baru servis kenderaan di Proton

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

SELEPAS Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan pada 4 Mei lalu, Proton kembali membuka semula semua pusat jualan dan servis serta pejabat korporat secara berperingkat.

Dengan lebih 9,000 kakitangan termasuk di syarikat pengedar, Proton sudah mengambil beberapa langkah pencegahan yang diperlukan untuk membendung penyebaran Covid-19 di kalangan kakitangannya.

Pengurus Besar Selepas Jualan Proton, Tan Kang Leng berkata, bagi mengawal jumlah kakitangan dan pelanggan berada dalam satu tempat pada waktu yang sama, pihaknya sudah mengatur strategi untuk mempercepat setiap proses, dari pendaftaran sehinggalah ke penyerahan kereta kepada pelanggan.

"Setiap penasihat servis dan juruteknik dimaklumkan dengan baik mengenai prosedur dan protokol yang harus mereka patuhi untuk memastikan keselamatan semua pihak," katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Menurutnya, langkah yang diambil ini bertujuan menjamin keselamatan pelanggan Proton kerana syarikat menjangka akan menerima sejumlah besar pelanggan yang ingin melakukan servis pada kereta mereka.

Antara prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi pusat servis ialah pelanggan perlu melakukan temu janji dan hadir ke pusat servis 20 minit lebih awal selepas waktu temu janji mereka disahkan.

Selain itu, terdapat tanda jarak untuk penjarakan sosial, pemeriksaan suhu badan, penyediaan pembasmi kuman dan setiap kereta pelanggan akan disanitasi selepas diservis, sebelum diserahkan kembali kepada pemiliknya.

Proton turut mengehadkan jumlah temu janji yang diterima setiap hari bagi mengelakkan jumlah pelanggan yang ramai dalam satu masa.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 17, 2020 @ 12:47pm
    d