utama

Sinar dalam musibah

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Tumpat: Banjir yang melanda beberapa kampung di daerah ini memberi rezeki kepada hampir 10 pemandu bot di Kampung Bendang Pak Yong, di sini.

Mereka rata-rata memperoleh pendapatan antara RM30 hingga RM50 sehari sejak Rabu lalu selepas membawa penumpang dari Kampung Bendang Pak Yong, Kubang Sawo, Kajang Sebidang, Simpangan dan beberapa kampung berdekatan yang terkepung akibat banjir.

Pemandu bot, Mohamad Mustapa, 37, berkata, sejak banjir melanda, dia tidak dapat bekerja dan hanya memandu bot untuk membawa keluar penduduk kampung.

“Alhamdulillah hasil memandu bot ini dapatlah sekitar RM30 hingga RM50 sehari dan digunakan untuk membeli barangan keperluan dapur di musim banjir ini.

“Walaupun kebanyakan rumah dinaiki air dan ramai yang terpaksa berpindah ke kawasan selamat, bagi pemandu bot ia rezeki untuk mencari pendapatan.

“Kami tidak mengenakan bayaran yang tinggi kerana niat untuk membantu mangsa banjir yang dalam kesusahan termasuk keluarga saya,” katanya.

Seorang lagi pemandu bot, Mohd Noor Awang, 37, berkata, perkhidmatan bot yang disediakan 24 jam sehari demi membantu mangsa banjir yang terkepung.

“Kami bersedia berkhidmat pada bila-bila masa termasuk waktu malam jika ada kes kecemasan.

“Saya jangka banjir termenung ini akan surut dalam tempoh seminggu lagi dan ramai penduduk yang masih berada di pusat pemindahan sementara,” katanya.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Disiarkan pada: December 5, 2017 @ 8:07am
d