mutakhir

Keluarga belum tuntut mayat Nora Anne

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Hasbi Sidek

MAYAT Nora Anne Quoirin yang selesai dibedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), Seremban, masih belum dituntut keluarga.

Tinjauan mendapati, sehingga jam 6 petang ini, tiada ahli keluarga atau wakil yang tampil menuntut mayat remaja Ireland itu.

Suasana di Jabatan Perubatan Forensik itu juga lengang dan hanya beberapa media tempatan serta antarabangsa masih menunggu kemungkinan keluarga hadir untuk menuntut mayat.

Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop pada sidang media berkata, tiada halangan untuk keluarga Nora Anne menuntut mayat remaja itu pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini keluarga belum membuat persiapan untuk menuntut mayat terbabit.

Keputusan bedah siasat Nora Anne mendapati punca kematian disebabkan kebocoran usus akibat tidak makan dalam tempoh panjang selain tekanan.

Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh dua hingga tiga hari sebelum mayatnya ditemui jam 1.57 tengah hari, kelmarin.

Proses bedah siasat dilakukan sepasukan pakar patologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), HTJS dan Jabatan Kimia bermula pada jam 11.45 pagi semalam mengambil masa lebih 10 jam.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Disiarkan pada: August 15, 2019 @ 7:36pm
    d