mutakhir

Koronavirus: PDRM buka 22 kertas siasatan sebar berita palsu

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka 22 kertas siasatan berhubung kes penyebaran berita tidak sahih berhubung penularan koronavirus baharu di media sosial.

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, tiga pertuduhan sudah dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan satu di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

“Semua pertuduhan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam.

“PDRM menggesa orang ramai menghentikan spekulasi berkenaan siasatan-siasatan yang dijalankan,” katanya.

Mohd Roze berkata, sebarang kenyataan atau artikel berkaitan perkara ini tidak sewajarnya dikongsi atau dimuat naik di laman sosial.

“Penularan kenyataan atau bahan berkaitan perkara ini dikhuatiri akan mencetuskan suasana tidak harmoni di negara ini.

“PDRM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati sengaja mensensasikan isu berkaitan virus ini,” katanya.

Bagi mendapatkan perkembangan terkini berkaitan virus ini, orang awam dinasihatkan merujuk kepada laman web Kementerian Kesihatan atau kenyataan dikeluarkan kementerian berkenaan untuk memperoleh maklumat tepat serta sahih.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 10, 2020 @ 4:29pm
    d