“ASHRAF seorang pemaaf dan tak pernah menghakimi orang,” kata pelakon dan pengacara Sazzy Falak mengenai sikap Allahyarham Ashraf Sinclair ketika hayatnya.
Sazzy yang juga rakan baik Allahyarham berkata, Ashraf juga seorang pendengar yang baik dan akan selalu mendahului kawan-kawannya.
Sazzy turut berlakon bersama Ashraf dalam filem Gol & Gincu pada 2005.
“Saya mula mengenali Ashraf sebelum kami membintangi filem itu lagi. Ketika itu kami sama-sama aktif dengan iklan komersial. Dia seorang pendengar yang setia. Barangkali itulah keindahan yang ada dalam diri Ashraf hingga membuatkan ramai orang selesa dengannya.
“Malah jika saya ada idea untuk memulakan perniagaan, dialah orang yang akan memberikan pendapat dan sedaya upaya membantu perkemaskan idea yang ingin saya lakukan.
“Dia sangat menjaga hubungannya dengan kawan-kawan. Dia akan selalu ada jika ada kawan yang berada dalam kesusahan,” katanya.
Menurut Sazzy, suaminya, Nazril Idrus turut merasai kehilangan kerana Ashraf adalah rakan niaganya.
“Arwah sangat rapat dengan suami. Mereka mengusahakan perniagaan bersama dan apabila dia sudah tiada tentulah hilang tempat mengadu dan sahabat yang baik.
“Mereka juga boleh dikatakan setiap hari akan bercakap melalui telefon atau panggilan video untuk berbincang hal syarikat. Terlalu banyak kenangan saya dan suami bersamanya. Sukar untuk diucapkan dengan kata-kata. Tapi itulah keperibadian Ashraf yang saya kenali ,” katanya.
Semalam Sazzy dan Nazril berangkat ke Jakarta, Indonesia untuk menziarah jenazah dan berada di sana sehingga upacara pengebumian selesai.
Ashraf yang meninggal dunia 4.15 pagi semalam dikebumikan di Tanah Perkuburan San Diego Hills, Karawang, Jawa Barat petang semalam.
Berita Berkaitan