BAYARAN ansuran Bantuan Sara Hidup bulan Mei sebanyak RM200 akan dibuat pada Mac 2020.
Malah, kerajaan juga akan membayar kepada setiap penerima BSH tambahan RM100 yang akan dikreditkan ke dalam akaun bank pada bulan Mei dan seterusnya tambahan RM50 akan disalurkan secara e-tunai.
Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif untuk merangsang permintaan domestik yang terjejas akibat wabak Covid-19.
“Selain bayaran awal BSH, kerajaan juga mencadangkan pengurangan kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak empat peratus iaitu daripada 11 peratus kepada tujuh peratus.
“Ini bermakna, RM10 bilion akan kekal di tangan pencarum berkuat kuasa sehingga akhir tahun ini,” katanya pada pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bertema ‘Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan’ di Putrajaya, hari ini.
Langkah lain yang turut diambil adalah penubuhan Tabung AgroFood sebanyak RM1 bilion oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada kadar 3.75 peratus bertujuan bagi
menggalakkan aktiviti pengeluaran makanan untuk memenuhi permintaan domestik dan eksport.
Kerajaan juga akan menyalurkan RM10 juta kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk menyediakan kemudahan simpanan makanan supaya
harga dapat dikurangkan.
Geran sebanyak RM1,000 juga akan diberikan kepada 10,000 usahawan tempatan yang menjual produk dan barangan di platform e-dagang.
Malah, peruntukan tambahan RM20 juta turut diberikan kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk program Perkhidmatan e-Dagang Setempat (PeDAS) bagi menaik taraf Pusat Internet Desa kepada hab e-dagang.