mutakhir

Harap pulang deposit sebelum Ramadan

Oleh Noorazura Abdul Rahman

“SAYA akur dengan keputusan kerajaan negeri membatalkan bazar Ramadan di Kedah, bukan rezeki kami tahun ini,” kata Mohd Firdaus Shahi Zabiad, 32.

Mohd Firdaus yang juga peniaga murtabak dan air di Bazar Ramadan perkarangan Stadium Darul Aman berkata, keputusan itu disambut baik demi kebaikan rakyat termasuk peniaga sendiri.

Katanya, dia sudah membayar sewa RM1,200 untuk empat tapak (RM300 satu tapak) kepada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) selepas membuat bidaan pada awal bulan lalu.

“Sudah 10 tahun saya berniaga di bazar Ramadan stadium, saya anggap tahun ini tak ada rezeki, sebagai peniaga kita akur untuk kebaikan bersama.

“Baru sebentar tadi saya menghubungi pihak MBAS, belum ada jawapan mengenai tarikh pembayaran balik, cuma saya harap MBAS akan pulangkan bayaran sebelum Ramadan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelmarin, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan pembatalan operasi Bazar Ramadan dan jualan Aidilfitri di Kedah bagi mengekang penularan Covid-19.

Mukhriz dilaporkan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Exco kelmarin selepas mengambil kira keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Perkara ini penting bagi mengelak rakyat berhimpun di sesuatu tempat dan akan menyebabkan wabak ini tidak terkawal.

“Justeru, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap daerah yang sudah mengambil deposit daripada pembida (pemilik gerai) perlu memulangkan kembali wang deposit,” katanya.

Selain Kedah, Terengganu menjadi negeri pertama yang memutuskan untuk tidak membenarkan bazar Ramadan beroperasi di negeri itu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 2:17pm
    d