mutakhir

Zon merah dah dinyah cemar [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

KAWASAN zon merah sudah dilaksanakan proses sanitasi nyah cemar dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah melaksanakan 666 operasi nyah cemar di 79 zon.

Menurutnya, 102 operasi sanitasi merangkumi 48 zon di 13 negeri termasuk 32 di Johor dan 14 di Kuala Lumpur sudah dilaksanakan operasi nyah cemar, semalam.

“Semua zon merah setakat hari ini sudah dinyah cemar.

“Kawasan lain yang sudah dinyah cemar adalah 514 bangunan kerajaan dan 17 projek perumahan rakyat (PPR) membabitkan 24,077 unit kediaman,” katanya pada sidang media Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.


Mengulas berhubung kutipan Tabung Covid-19, Ismail Sabri berkata, soal tabung itu akan diumumkan pihaknya, esok termasuk bagaimana cara pelaksanaan agihannya.

“Saya juga akan mengumumkan proses pengedaran topeng hidung dan mulut secara percuma kepada rakyat seperti yang dijanjikan kerajaan esok,” katanya.


Beliau juga memberitahu setakat ini tiada serangan siber dilakukan kepada jabatan dan agensi kerajaan sepanjang PKP.

“Selain itu, kita juga sudah meminta menteri berkaitan (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) untuk melihat isu pusat asuhan swasta berhubung bayaran bulanan untuk melihat permohonan mereka secara lebih lanjut,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Disiarkan pada: April 7, 2020 @ 3:41pm
    d