mutakhir

Puspakom kembali beroperasi Rabu ini

Oleh BERNAMA

PUSAT Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) akan kembali beroperasi bagi pemeriksaan kenderaan perdagangan kategori tertentu selain perkhidmatan Trak Bergerak bermula 29 April ini.

Puspakom dalam kenyataan, hari ini memaklumkan pengoperasian itu dilakukan di semua cawangan seluruh negara kecuali di Batu Caves, Pandan Mewah, Glenmarie dan Taman Daya.

"Kategori kenderaan perdagangan yang boleh diterima untuk sementara ini termasuk kenderaan barangan, perkhidmatan awam dan pelancongan.

"Kami juga akan mengumumkan kelak jika perkhidmatan pemeriksaan lain akan beroperasi semula.

"Cawangan yang dibuka akan menyediakan khidmat pembaharuan insurans, sementara cawangan di Lembah Klang dan zon selatan yang sebelum ini menawarkan perkhidmatan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) juga akan menyediakan perkhidmatan itu," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan bagi memudahkan urusan, semua pelanggan perlu membuat tempahan menerusi MyPuspakom sebelum hadir membuat pemeriksaan kenderaan.

"Tiada pelanggan dibenarkan 'walk-in' untuk pemeriksaan kecuali bagi kenderaan yang sudah tamat perakuan pemeriksaan antara 18 Mac hingga 28 April ini," katanya.

Bagaimanapun, kumpulan ini perlu merujuk jadual disediakan menerusi https://www.puspakom.com.my/news-announcement/ untuk memastikan memastikan tarikh yang ditetapkan bagi pemeriksaan kenderaan mereka.

"Kenderaan yang tamat tempoh perakuan pemeriksaan selepas 28 April ini, diwajibkan membuat temu janji dalam talian di www.mypuspakom.com.my sebelum hadir pemeriksaan dan perlu membawa 'Insurance Cover Note' sebagai dokumen tambahan selain kad pendaftaran kenderaan asal dan perakuan pemeriksaan terkini," katanya.

Pelanggan juga perlu mendaftar di kaunter pendaftaran di cawangan dipilih sebelum 4.30 petang dan hanya seorang pemandu sahaja dibenarkan masuk ke premis pada satu masa, jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, pihaknya mengingatkan pelanggan untuk menangguhkan atau menghantar wakil bagi menjalankan pemeriksaan kenderaan jika tidak sihat, mengalami simptom batuk, demam dan sesak nafas atau mempunyai sejarah melancong ke luar negara.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini dengan mengikuti Facebook rasmi Puspakom Sdn Bhd atau layari www.puspakom.com.my.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 25, 2020 @ 8:21pm
    d