mutakhir

Ketegaq sangat, tak pasal-pasal dikompaun RM1,000

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Berkumpul tanpa memakai pelitup muka dan tidak menjaga penjarakan fizikal mengundang padah kepada 54 individu apabila dikenakan kompaun dalam operasi polis di sekitar daerah ini malam tadi.

Dalam operasi yang dijalankan di sekitar Butterworth dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) di Bagan Ajam pada 8 malam mendapati ramai orang awam tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesalahan itu tidak sepatutnya dilakukan memandangkan ia bukan perkara baharu apatah lagi sudah menjadi norma kehidupan sejak penularan pandemik Covid-19 melanda negara.

"Polis tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) demi memutuskan rantaian Covid-19 ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya terpaksa mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada individu yang dikesan ingkar SOP itu.

"Seramai 41 lelaki dan 13 wanita dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika berkumpul," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: October 11, 2020 @ 1:40pm
    d