mutakhir

Kawal penempatan pekerja warga asing di asrama

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan akan menetapkan satu garis panduan terhadap syarikat atau pengusaha kilang di negeri itu untuk melarang mereka menempatkan terlalu ramai pekerja warga asing di asrama pekerja.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, langkah itu bertujuan untuk memudahkan mereka dikawal, sekali gus dapat mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja terbabit.

"Ketika ini terdapat sesetengah asrama pekerja didapati menempatkan warga asing terlalu ramai sehingga mengakibatkan sukar dikawal, sekali gus menyebabkan berlakunya penularan wabak Covid-19.

"Pengusaha syarikat atau kilang perlu meneliti semula mengenai perkara ini dengan memastikan bilangan pekerja ditempatkan di asrama harus bersesuaian dengan keluasan.

"Apa yang berlaku ketika ini jelas memberi masalah apabila kebanyakan asrama pekerja asing ini tidak dapat dikawal," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bilik Gerakan Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pengusaha atau pengurusan kilang, supaya perkara ini diberikan perhatian, bukan sahaja ketika wabak Covid-19 sedang melanda ketika ini, malah pada sepanjang masa.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menerima aduan mengenai rasa kurang senang masyarakat awam apabila terlalu ramai pekerja warga asing di sesuatu penempatan atau taman perumahan.

Katanya, kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap perkara itu kerana selain sebagai langkah menyekat penularan virus Covid-19, ia membabitkan kepentingan, keselamatan dan kesejahteraan orang ramai.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 11, 2020 @ 7:34pm
    d