mutakhir

PKRC tempatkan pesakit Covid-19 berisiko rendah

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kompleks Masyarakat Penyayang, Jalan Utama, di sini, sudah bersedia menempatkan individu untuk dikuarantin pada bila-bila masa.

PKRC yang ketiga di Pulau Pinang selepas Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Seberang Perai itu mempunyai 89 katil.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, keputusan membuka PKRC dibuat dalam masa singkat bagi memastikan hospital tidak dibebani jumlah kemasukan pesakit berisiko rendah yang tinggi.

"Kita mensasarkan sebanyak 100 katil di sini, namun hanya dapat memuatkan 89 katil sahaja.

"Persiapan dilakukan dengan pantas kerana kita sudah ada beberapa pengalaman menyediakan penempatan sementara sebelum ini.

"Melihat pada perkembangan kes yang tidak menentu, kita akan mempertimbangkan lokasi lain, namun ia bergantung kepada perkembangan kes, " katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Tinjauan di PKRC mendapati beberapa petugas dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan beberapa agensi sedang melakukan persiapan akhir.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow semalam mengumumkan mengenai pembukaan PKRC bagi menempatkan pesakit berisiko rendah yang tidak perlu dirujuk ke hospital.

Pusat terbabit akan dikendalikan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) yang mahukan lokasi berhampiran Hospital Pulau Pinang (HPP).

Kompleks berkenaan juga pernah menjadi penempatan sementara bagi golongan gelandangan dan kutu rayau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 19, 2020 @ 5:51pm
    d