mutakhir

Terima kasih sekali lagi Dr Rohaizat

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Selepas lebih empat bulan kembali dari persaraan untuk menabur bakti, Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan) Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Dr Rohaizat Yon yang pernah digelar 'panglima perang' dalam menentang Covid-19, sekali lagi menamatkan tugasnya di KKM hari ini.

Perkara itu diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui akaun media sosial Facebook rasminya hari ini.

"Tidak terucap betapa kami dan rakyat Malaysia menghargai jasa dan pengorbanan beliau dalam menerajui Program Perubatan KKM selama ini. Tanpa mengenal penat lelah, masa dan hari, Datuk Dr Rohaizat sentiasa bersedia untuk melaksanakan tugas dan amanah beliau.

"Semoga segala jasa dan bakti Datuk Dr Rohaizat diberkati dan dikurniakan rezeki dan ganjaran di dunia dan akhirat, Insya Allah," katanya.

Dr Noor Hisham turut menitipkan sebuah pantun khas buat panglima perangnya itu:

Di atas batu hinggapnya murai,

Berlagu kicauan terasa tenang;

Tibalah waktu melabuhkan tirai,

Baktimu Tuan dikenang-kenang.

Dr Rohaizat bersara wajib pada 10 Jun selepas berkhidmat selama 35 tahun 10 hari sebelum dipanggil untuk bertugas semula secara kontrak sehingga hari ini demi membantu KKM, terutamanya berkaitan perkhidmatan hospital dalam mengharungi saat-saat getir memerangi pandemik Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 31, 2020 @ 7:06pm
    d