mutakhir

Muhyiddin terima dos kedua vaksin Covid-19 [METROTV]

Oleh Zanariah Abd Mutalib

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini yang melengkapkan dos suntikan vaksin Covid-19.

Beliau menerima suntikan dos kedua vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan (KK) Putrajaya, Presint 18, Putrajaya pada 3.16 petang tadi.

Suntikan itu diterima Perdana Menteri genap 21 hari selepas beliau menerima suntikan dos pertama di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, Presint 18, pada 24 Februari lalu, seperti yang disyaratkan bagi penggunaan vaksin itu.

Selepas menerima suntikan, Muhyiddin dibawa ke ruang pemerhatian bagi pemantauan kesan sampingan selama 30 minit oleh petugas kesihatan.

Turut berada di KK berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Selain Perdana Menteri, Dr Noor Hisham turut menerima suntikan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech, hari ini bersama empat lagi petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang menerima suntikan dos pertama pada 24 Februari lalu.

Mereka ialah Pegawai Perubatan KK Putrajaya, Presint 9, Dr Tan Yee Ling; jururawat KK Putrajaya, Presint 9, Sheilla Mellissa Sikin; Penolong Pegawai Perubatan PKD Putrajaya, Khairul Asraf Mohd Yasin dan pemandu ambulans PKD Putrajaya, Clement Marai Francis.

Malaysia kini berada dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancarkan pada 24 Februari dan menyasarkan untuk melakukan vaksinasi kepada kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan, antara hujung Februari hinga April depan.

Fasa 2 imunisasi, yang bakal membabitkan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac, dijadualkan bermula April hingga Ogos depan, untuk kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa 3 pula akan bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dan disasarkan untuk sekitar 13.7 juta penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 17, 2021 @ 4:48pm
    d