mutakhir

332 pasangan terpaksa tangguh nikah

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Majlis akad nikah membabitkan 332 pasangan bakal pengantin di daerah Kota Setar terpaksa ditangguh susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 28 mukim daerah itu mulai hari ini hingga 1 Jun depan.

Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Ahmad Faisol Omar berkata, sebelum ini semua pasangan mendapat kebenaran berkahwin yang dikeluarkan Pejabat Agama Daerah Kota Setar dalam tempoh 14 hari berkenaan.

"Bagaimanapun, akad nikah pasangan pengantin terbabit terpaksa ditangguhkan sehingga PKPD berakhir nanti.

"Saya minta semua bakal pengantin hadir ke Pejabat Agama Daerah Kota Setar selepas PKPD berakhir bagi mendapatkan tarikh akad nikah baharu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Faisol berkata, selain itu Perkhidmatan Nikah, Cerai dan Rujuk (NCR) yang dikendalikan Pejabat Agama Daerah Kota Setar termasuk khidmat runding cara dan kaunseling keluarga turut ditangguhkan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, semua masjid dan surau dalam daerah Kota Setar diarah tutup sepenuhnya dalam tempoh PKPD.

Katanya, masjid hanya dibuka untuk solat fardu berjemaah dengan bilangan lima orang yang terdiri daripada pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah.

"Dalam tempoh PKPD, solat Jumaat dibenarkan dengan 12 jemaah sahaja terdiri daripada pegawai masjid dan ahli jawatan kuasa kariah.

"Bagi ahli kariah bukan pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah boleh solat fardu di rumah dan solat fardu Zohor hendaklah dilakukan bagi menggantikan solat Jumaat.

"Selain itu, sebarang majlis ilmu seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah duha atau majlis tahlil serta doa tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPD," katanya.

Beliau berkata, solat jenazah juga tidak dibenarkan di masjid sebaliknya dilakukan di rumah dengan bilangan jemaah tidak melebihi 20 orang membabitkan pegawai masjid dan ahli keluarga terdekat sahaja.

Katanya, pengurusan pengebumian jenazah dan talkin dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 20 orang.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 19, 2021 @ 1:40pm
    d