mutakhir

Berkurung di rumah kerana tidak mahu jadi punca jangkitan [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: "Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) baru bermula hari ini, kami enam beranak sudah beberapa hari tidak keluar rumah kerana tidak mahu merisikokan orang lain," kata seorang penduduk Pantai Suri, di sini.

Fakrul Mustakim Mohd Yaacob, 21, berkata, dia terpaksa melupakan seketika latihan industri sedang dijalaninya di sebuah syarikat elektrik di Kota Bharu disebabkan pelaksanaan PKPD.

Menurutnya, dia bersama lima ahli keluarga lain sudah menjalani ujian calitan kelmarin kerana kontak rapat abangnya yang positif Covid-19 dan kini sedang menunggu keputusan.

"Daripada segi bekalan makanan, semuanya masih mencukupi kerana kami membuat pembelian secara banyak beberapa hari lalu.

"Difahamkan pihak berwajib sudah menyediakan bekalan makanan untuk diagihkan kepada penduduk," katanya ketika ditemui di jeti Kok Majid, di sini, hari ini.

PKPD di kepulauan Tumpat iaitu Mukim Sungai Pinang yang bermula hari ini sehingga 4 Jun membabitkan Teluk Renjuna, Pantai Haji Nik Mat, Pulau Beluru dan Pantai Suri.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah membuat tinjauan di sekitar kawasan jeti sebelum menaiki bot menuju ke Kampung Pulau Beluru.

Tinjauan dibuat di jeti Kok Majid di sini, mendapati keadaan lengang berikutan tiada kelibat orang ramai terutama penduduk kampung yang biasanya memenuhi sekitar jeti termasuk kedai makan berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, seramai 30 anggota membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditugaskan di sekitar empat kampung di pinggir delta Sungai Kelantan itu.

Beliau berkata, penugasan untuk PKPD kali ini agak berbeza kerana membabitkan kawasan pulau dan pihaknya perlu sentiasa menjalankan rondaan dengan bot.

"Saya difahamkan terdapat lebih 1,000 penduduk dari empat kampung ini dan separuh daripada mereka sudah menjalani ujian calitan.

"Setakat ini penugasan kami terkawal dengan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bertempat di jeti Pulau Beluru," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 22, 2021 @ 3:23pm
    d