mutakhir

Ingkar SOP: Tukang gunting dikompaun RM10,000

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Tidak tahu masa perniagaan sudah berubah antara alasan diberi seorang pemilik kedai gunting di Bahau, semalam, sebelum dia dikompaun RM10,000 berikutan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, pemeriksaan pasukan petugas khas pada 8.10 malam tadi mendapati pemilik premis masih menjalankan operasi perniagaan walaupun melebihi masa dibenarkan iaitu sehingga 8 malam.

Katanya, ketika pemeriksaan, dua pelanggan berada di dalam kedai gunting rambut berkenaan dengan seorang sedang menunggu giliran bagi menggunting rambut.

"Selain pemilik premis berusia 40 tahun, dua pelanggan, kedua-duanya remaja berusia 19 tahun turut dikenakan kompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka.

"Apa sahaja alasan diberi, semua aktiviti perniagaan dibenarkan sehingga 8 malam sahaja dan tindakan akan diambil sekiranya terdapat peniaga yang melanggar peraturan itu," katanya, hari ini.

Hoo berkata, polis akan sentiasa menjalankan pemeriksaan bagi memastikan peniaga mematuhi SOP PKP 3.0 yang dikemaskini pada 25 Mei lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 26, 2021 @ 9:34am
    d