mutakhir

5 lorong tikus rentas negeri di sempadan Kedah-Perlis

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Lima 'lorong tikus' di kawasan sempadan Perlis-Kedah di Kuala Sanglang, Perlis yang dipercayai menjadi laluan haram segelintir individu yang cuba merentas negeri terutamanya ketika sekatan pergerakan penuh (SPP) dikuat kuasakan bermula esok ditutup.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, lorong tikus itu adalah di laluan Jalan Kampung Tok Mengkula, Jalan Tok Mengkuba di Jalan Sepakat, Kuala Sanglang dan tiga lagi lokasi di pekan Kuala Sanglang, Perlis.

"Laluan ini dikenal pasti sebagai laluan alternatif yang boleh masuk ke Perlis menerusi Kuala Sanglang di mana pemerhatian kita mendapati, individu yang cuba merentas negeri menggunakan laluan berkenaan untuk mengelak dari sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer (KM) 17 Jalan Alor Setar-Kangar di Sanglang.

"Sejak dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), segala laluan masuk ke Perlis dari Kedah yang berada di bawah kendalian Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar, kita akan pantau dan sesiapa yang didapati cuba memasuki negeri ini tanpa kebenaran atau surat rentas negeri dari polis akan dikompaun dan diarahkan berpatah balik," katanya kepada pemberita di Jalan Kampung Tok Mengkula, Sanglang, di sini, hari ini.

Katanya, sekiranya ada cubaan individu untuk rentas negeri ke Perlis menggunakan 'lorong tikus' di lima laluan berkenaan, ia akan dipantau dengan ketat oleh polis yang akan mengadakan rondaan di kawasan itu.

"Bagi mencegah perbuatan rentas negeri di lorang tikus itu, kita sudah menutupnya dengan hadangan konkrit.

"Sebagai keselamatan, kita turut meletakkan hadangan air atau 'water barrier' menggunakan hadangan plastik bagi mengelakkan kemalangan berlaku akibat rempuhan penunggang motosikal yang berkemungkinan tidak nampak hadangan yang diletakkan," katanya.

Terdahulu beliau meninjau 'lorong tikus' yang dijangka cuba digunakan segelintir individu rentas negeri ke Perlis di Jalan Kampung Tok Mengkula dan Jalan Kampung Tok Mengkula di Sanglang, di sini.

Laluan yang hanya boleh diakses menggunakan motosikal itu kini ditutup sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang pembolosan ke Perlis oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Dalam perkembangan berkaitan, terdapat tiga penambahan SJR di daerah Padang Besar iaitu di Jalan Kubang Perun, Beseri dan Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 31, 2021 @ 5:37pm
    d