mutakhir

Orang awam boleh lapor kilang, premis ingkar SOP

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan akan memperhebatkan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) melalui pasukan khas operasi pematuhan berkaitan industri dan premis perniagaan bukan perkhidmatan perlu yang beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya memandang serius mengenai isu pelanggaran SOP terbabit.

"Saya baru sahaja selesai mempengerusikan mesyuarat Strategi Pematuhan SOP Covid-19 hari ini bagi memastikan tindakan agensi penguatkuasaan dan pematuhan dalam kalangan pemilik premis perniagaan dan sektor perkilangan.

"Pasukan khas ini akan memfokuskan kepada pematuhan dan perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, beberapa kementerian sudah mengambil tindakan terhadap kilang dan premis yang melanggar perintah serta arahan PKP seperti beroperasi lebih masa, jumlah pekerja lebih 60 peratus dan beroperasi walaupun sudah diarah tutup.

Justeru, katanya, kerajaan membuka talian hotline bagi membolehkan orang ramai membuat aduan melalui Malaysian Government Call Centre (MyGCC) di talian 03-80008000 atau 80008000@mygcc.gov.my atau emel ke aduan.pematuhan.mkn.gov.my.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 5, 2021 @ 6:12pm
    d