mutakhir

Tiada surat kebenaran operasi, 8 kilang diarah tutup

Oleh Norzamira Che Noh

Klang: Sebanyak lapan kilang di daerah Klang Utara diarahkan tutup selepas didapati beroperasi tanpa surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kilang berkenaan tidak termasuk dalam sektor yang dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, selain didapati tidak mempunyai lesen perniagaan.

"Lapan kilang berkenaan adalah kilang cat, kilang ais, kilang acuan besi, kilang memproses minyak sawit dan lain-lain," katanya dalam kenyataan, di sini.

Nurulhuda berkata, kilang berkenaan dikesan beroperasi menerusi Op Covid 3.0 yang dijalankan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK) selama dua hari sehingga semalam.

Katanya, operasi tertumpu kepada kilang yang beroperasi di kawasan Sungai Kapar, Meru, Bandar Sultan Suleiman dan Bandar Bukit Raja.

Katanya, dalam operasi itu, 37 kompaun turut dikeluarkan kepada pemilik dan pekerja kilang atas pelbagai kesalahan.

"Kompaun yang dikeluarkan terhadap majikan membabitkan kesalahan gagal menyediakan peralatan saringan suhu; kehadiran pekerja melebihi 60 peratus serta gagal memastikan pekerja mengimbas kod MySejahtera.

"Bagi pekerja pula, mereka didapati gagal mengimbas MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka," katanya.

Dalam pada itu, Nurulhuda berkata, sejumlah 143 kompaun membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan sejak pelaksanaan PKP penuh bermula 1 Jun hingga semalam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 7, 2021 @ 9:56am
    d