mutakhir

Masjid Al-Azim bantu proses vaksinasi untuk orang Melaka [METROTV]

Oleh Amir Mamat

Melaka: Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini, dipilih sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pertama membabitkan rumah ibadah sebagai usaha melancarkan Program Imuninasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata, pemilihan Masjid Negeri Melaka itu adalah inisiatif kerajaan negeri bersama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Jabatan Kesihatan negeri serta Hospital Melaka.

Menurutnya, ia dijadikan lokasi khas untuk orang awam yang sudah menerima temu janji penerimaan vaksin di hospital berkenaan sebelum ini.

Beliau berkata, langkah itu susulan keadaan di Hospital Melaka yang sangat sesak ketika ini, selain kekurangan tempat letak kenderaan berbanding Masjid Al-Azim yang terletak bersebelahan dengan hospital berkenaan.

"PPV Masjid Al-Azim ini adalah untuk orang awam yang sering mendapatkan rawatan susulan di Hospital Melaka sebelum ini. Selepas saringan dilakukan, seramai 6,132 pesakit akan dipanggil untuk menerima suntikan di PPV ini.

"Sejak mula beroperasi Isnin lalu, seramai 1,076 individu yang sudah menerima suntikan dos pertama dan ia akan berterusan sehingga fasa kedua pemberian vaksin ini selesai dijadual pada Ogos depan," katanya selepas meninjau operasi di PPV Masjid Al-Azim, tadi.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Md Rawi Mahmud; Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ismail Ali dan Pengarah Hospital Melaka, Dr Zaharimah Abdul Kadir.

Setakat ini, Melaka mempunyai 38 PPV termasuk 14 untuk orang awam membabitkan tiga hospital daerah, empat hospital swasta serta beberapa dewan orang ramai.

Rahmad berkata, semua PPV berkenaan mampu menyediakan sekurang-kurangnya 8,000 suntikan sehari dengan setiap daripada pusat berkenaan dikendalikan oleh 50 petugas kesihatan.

"Saya yakin, dengan jumlah PPV sedia ada, ditambah dengan PPV pandu lalu serta PPV kawasan industri, program vaksinasi di Melaka akan berjalan lancar," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 17, 2021 @ 6:05pm
    d