mutakhir

Mesin oksigen untuk hospital di Kedah masih mencukupi

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kerajaan negeri menafikan dakwaan mesin oksigen tidak mencukupi di hospital kerajaan di negeri ini berikutan kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, hospital-hospital terbabit tidak memerlukan tambahan mesin oksigen berikutan keadaan masih terkawal.

"Kita tidak memerlukan mesin oksigen tambahan seperti yang didakwa, jumlah mesin berkenaan di hospital-hospital di Kedah masih mencukupi.

"Mungkin ada agenda tertentu pihak terbabit sehingga mahu mengutip derma bagi membeli mesin oksigen untuk Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Arang, Ooi Tze Min menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Ooi mendakwa beliau sudah berhubung dengan pengarah hospital di Sungai Petani dan Alor Setar yang mengesahkan keperluan mesin oksigen berkenaan.

Kutipan derma untuk membeli mesin oksigen (oxygen concentrator) dilancarkan dan peralatan itu akan dihantar ke hospital memerlukan terutama HSAH, Sungai Petani.

Dalam pada itu, Dr Mohd Hayati mengingatkan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, peningkatan kes yang berlaku sejak kebelakangan ini adalah disebabkan kes saringan kontak rapat kerana kurangnya pematuhan SOP di kalangan masyarakat.

"Ada yang balik ke rumah jumpa keluarga dan jumpa rakan-rakan menyebabkan jangkitan Covid-19 cepat merebak dalam komuniti di negeri ini.

"Selain itu, ia juga disebabkan saringan ujian Covid-19 secara bersasar di beberapa kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, kerajaan mengambil inisiatif untuk menambah bilangan katil di hospital selain Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendan (PKRC) bagi menampung bilangan pesakit.

"Apabila HSAH penuh, kita akan hantar pesakit Covid-19 ke hospital daerah lain seperti Kulim, Baling dan Sik. Namun, tiga hospital itu agak kecil dan saiznya tidak sama seperti HSAH atau Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) menyebabkannya cepat penuh.

"Tindakan yang boleh diambil adalah menambah bilangan katil di hospital dan PKRC. Bagi pesakit kategori empat dan lima, mereka akan dirawat di hospital manakala kategori dua dan tiga dirawat di PKRC," katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2021 @ 2:24pm
d