mutakhir

Lima lokaliti di Sabah, Johor kena PKPD

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Lima lokaliti di Sabah dan Johor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 20 Ogos ini hingga 2 September.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, kawasan dikenakan PKPD di Johor ialah Ladang Sungai Kahang di Kluang, manakala empat lagi lokaliti di Sabah membabitkan Kampung Tanjung Pagar, Sipitang dan Setinggan Kampung Baru, Luyang di Penampang.

"Turut termasuk, Kampung Padang Tembak, Keningai dan Kampung Jawa di Tawau," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rodzi berkata, sebanyak 11 lokaliti yang sebelum ini dikenakan PKPD ditamatkan mengikut jadual dan lebih awal yakni, Taman Sri Kebakat, Tumpat, Kelantan; Kampung Belum Baru, Hulu Perak, Perak; dua kilang di daerah Larut, Matang dan Selama, Perak; Kampung Menteri, Kuala Sepetang, daerah Larut, Matang dan Selama, Perak dan Taman Puteri, Kluang, Johor.

"Selain itu, Kampung Kuala Mengalong, Sipitang, Sabah; dua lokaliti di Kunak, Sabah; dua lokaliti di Kota Kinabalu; Kampung Bukit Merbau daerah Pasir Puteh, Kelantan; Kampung Baru Perupoh, Pasir Puteh, Kelantan dan Kampung Wek 23, Labok, Machang, Kelantan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: August 18, 2021 @ 6:29pm
    d