global

Bantuan antarabangsa tiba di Lubnan

Oleh AFP

Beirut: Pelbagai negara mula menghantar pasukan perubatan dan pakar penyelamat bagi membantu Lubnan yang terjejas teruk akibat insiden letupan pada Selasa.

Selain itu, ada negara menghantar anjing pengesan dan membuka hospital sementara bagi merawat mangsa.

Setakat ini, letupan di pelabuhan di sini itu sudah mengorbankan 113 orang dan mencederakan lebih 4,000 orang.

Negara Teluk menjadi yang terawal dalam menghulurkan bantuan dengan Qatar menghantar hospital bergerak.

Ia memandangkan Lubnan seperti negara lain juga masih berdepan dengan penularan pandemik Covid-19.

Tentera Udara Qatar menghantar ribuan tilam, jana kuasa dan selimut khas untuk mangsa yang melecur dalam konvoi pertamanya ke Beirut.

Kuwait pula menghantar bekalan ubatan kepada Palang Merah Lubnan.

Tentera Greece pula menghantar pasukan penyelamat yang mendarat dengan pesawat tentera C-130 di lapangan terbang di sini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Lubnan Hassan Diab merayu bantuan negara sahabat dalam membantu pihaknya.

Dalam pada itu, Perancis akan menghantar pasukan mencari dan menyelamat, klinik bergerak dan kelengkapan perubatan dan pembersihan.

Presiden Perancis Emmanuel Macron menjadi pemimpin dunia pertama yang melawat ibu negara Lubnan selepas tragedi berkenaan.

Dalam pada itu, Ratu Elizabeth II turut merakamkan ucapan takziah atas kejadian itu.

Amerika Syarikat menerusi Setiausaha Negaranya, Mike Pompeo pula sudah menghubungi Diab bagi menawarkan bantuan.

Cyprus yang terletak kira-kira 240 kilometer dari lokasi letupan dan turut merasai gegaran berkata, negara itu akan menghantar lapan anjing pengesan untuk mencari mangsa terperangkap.

Negara Eropah seperti Belanda, Republik Czech dan Poland pula menawarkan bantuan dari segi anggota perubatan, polis dan bomba serta anjing pengesan.

Itali pula sudah menghantar 14 bomba yang mempunyai kepakaran dalam penilaian kimia berisiko dan struktur runtuh.

Malah, Iran yang berdepan penularan Covid-19 turut bersedia menawarkan bantuan perubatan.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan menghantar kit trauma dan pembedahan dari Dubai.

Berita berkaitan:

  • Letupan Lubnan. Angka korban meningkat 113 orang
  • Ammonium nitrat punca letupan Lubnan
  • Lubnan akan cari dalang letupan
  • Letupan Lubnan: Pemimpin dunia rakam takziah
  • Letupan Lubnan, 'serangan mengerikan' - Trump
  • Disiarkan pada: August 6, 2020 @ 10:03am
    d