mutakhir

MAIWP bantu urus jenazah

Oleh Junaidi Ladjana

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan membantu menguruskan jenazah serta menyediakan dana untuk pengurusan pengebumian semua mangsa tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat, Kuala Lumpur, pagi hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau sudah menghubungi MAIWP bagi tujuan itu dan pada masa sama berharap semua ahli keluarga mangsa kebakaran itu dapat bersabar.

Menurutnya, kerajaan akan melihat secara terperinci semua aspek khususnya berkaitan keselamatan dalam tragedi mengorbankan lebih 20 pelajar tahfiz dan warden berkenaan.

"Apa yang berlaku adalah di luar pengurusan manusia, namun kerajaan akan melihat secara keseluruhan berhubung tragedi itu untuk diperbetulkan, terutama berkaitan aspek keselamatan.

"Saya berasa dukacita dengan kejadian ini dan merakamkan takziah kepada keluarga pelajar serta warden yang terbabit," katanya mengulas mengenai tragedi itu selepas merasmikan Dialog Antara Penganut Agama di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, hari ini.

Jamil Khir berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai kejadian itu khususnya berkaitan aspek keselamatan kerana perlu mendapatkan gambaran lebih jelas dan akan melawat ke lokasi kejadian, hari ini.

"Harapan kita, ujian ini melihat balik apa yang perlu diperbetulkan.

"Maksud saya dalam aspek keselamatan di samping melihat ujian ini sebagai ketentuannya," katanya.

Sementara itu, dilaporkan beliau bergegas pulang ke ibu negara sebaik majlis berakhir untuk meninjau lokasi kebakaran dan bertemu ahli keluarga mangsa.

Berita berkaitan

PM zahir rasa sedih

'Mahu tolong ibu ayah ke syurga Firdaus' [METROTV]

Nekad turun dengan tujuh rakan

'Tolong bang...tolong bang' [METROTV]

Ya Allah, 24 semuanya terkorban

Api menjulang ketika azan subuh

20 maut, 3 kritikal, 2 separa kritikal

Disiarkan pada: September 14, 2017 @ 12:52pm
d