mutakhir

Di mana Lau See?

Oleh Ramli Ibrahim

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa warga emas Lau See, 69, yang hilang di Hutan Simpan Lebir, Aring 8, Gua Musang, sejak 9 Oktober masih belum menemui sebarang petunjuk.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang, Mohd Yusalmi Mohd Yusoff berkata, bagaimanapun usaha mengesan mangsa tetap diteruskan.

"Pencarian dilakukan melebihi jarak tiga kilometer dengan menggeledah semua semak dan sungai namun tiada sebarang petunjuk sehingga operasi ditamatkan pada 6 petang tadi.

"Bau busuk di lokasi kejadian juga sudah hilang. Operasi diteruskan esok bermula 10 pagi," katanya

Harian Metro sebelum ini melaporkan, mangsa Lau See, 69, dilaporkan hilang di hutan itu pada 5.30 petang selepas meninjau kawasan berkenaan bagi membuat sempadan.

Mangsa masuk ke kawasan hutan berkenaan pada 2.30 petang bersama dua penduduk Orang Asli, Pandu Amat, 45 dan anak lelakinya, Azerin, 20.

Bagaimanapun, mangsa yang berasal dari Negeri Sembilan, gagal keluar dari hutan itu manakala dua beranak Orang Asli tunggu di kenderaan mangsa.

Pandu membuat laporan di Balai Polis Paloh selepas gagal menemui mangsa hingga malam pada hari yang sama.

Mohd Yusalmi berkata, anggota yang terbabit dan SAR itu masih kekal 31 orang membabitkan polis, APM, bomba, Pasukan Gerak Am (PGA) dan orang awam.

"Setakat ini tiada perancangan untuk operasi ini dihentikan. Usaha mencari akan diteruskan seperti biasa sehingga mangsa ditemui,"katanya.

Berita berkaitan:

31 orang cari Lau See

Dicari tidak jumpa

Belum jumpa Lau See

Disiarkan pada: October 18, 2017 @ 7:05pm
d