mutakhir

Aina murid yang pintar

Oleh Mohd Khidir Zakaria

MANGSA dera yang meninggal dunia, Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, disifatkan gurunya sebagai seorang murid yang pintar dan rajin bertanya di dalam kelas.

Guru mangsa yang enggan dikenali berkata, murid Tahun Tiga itu aktif dan riang ketika berada di sekolah, malah tidak pernah menunjukkan sebarang tanda dia menjadi mangsa dera.

"Bagaimanapun kebelakangan ini Nur Aina berubah menjadi pendiam seperti menyembunyikan sesuatu. Saya pernah bertanya mengenai perubahan itu, namun dia hanya berkata tiada apa-apa yang berlaku.

"Ada juga guru lain yang pernah melihat lebam pada muka arwah tetapi dia memberitahu terjatuh basikal. Arwah tidak pernah bercerita atau mengadu mengenai keluarganya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Nur Aina Nabihah meninggal dunia 31 Januari lalu, akibat didera dan keputusan bedah siasat mendapati kanak-kanak terbabit cedera pada buah pinggang, selain usus terkoyak serta patah tulang rusuk, dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Guru itu berkata, kematian Nur Aina hanya diketahuinya selepas ibu tiri kanak-kanak itu menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp memaklumkan kanak-kanak itu meninggal dunia dalam tidur.

Katanya, semua guru di sekolah berkenaan terkejut apabila mendapat tahu kanak-kanak itu meninggal dunia akibat didera.

Beliau berkata, kejadian itu memberi pengajaran kepada pihak sekolah supaya lebih prihatin dengan sebarang perubahan sikap murid.

Sebelum ini, rakan sekelas mangsa, Putri Aine Sofhylea Mohd Shahjehan, turut berkongsi kisah kali terakhir bertemu arwah di sekolah pada 29 Januari lalu.

Katanya, arwah kelihatan takut dan sebelum berpisah untuk pulang ke rumahnya, arwah memeluknya dengan erat sambil menangis.

Berita berkaitan

[UPDATE[ Sungguh berat 'ujian' Nur Aina

[UPDATE] Bukan sebab air jampi

Air jampi untuk Aina

'Nur Aina, kau sentiasa dirindui...'

'Aina takut dengan bapanya'

[UPDATE] Anggota tentera, isteri direman [METROTV]

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 4:53pm
d