mutakhir

Lari lah lagi...

Oleh Muhamaad Razis Ismail

AKIBAT melarikan diri dari penjara minggu lalu, buruh terpaksa meringkuk lebih lama di tirai besi selepas dikenakan hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.

Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri mengenakan hukuman itu selepas tertuduh, Abdullah Mat Akub, 38, mengaku salah terhadap tuduhan berkenaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula hari ini.

Sebelum ini, banduan yang berasal dari Kampung Manek Urai Lama, Kuala Krai itu menjalani hukuman penjara 13 tahun dan 10 sebatan sejak 2016 atas kesalahan merogol.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melarikan diri di Blok Amanah, Penjara Pengkalan Chepa di sini pada 5.50 petang, 13 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Siasatan awal polis mendapati banduan itu melarikan diri dengan memanjat pagar berduri.

Bagaimanapun, tertuduh berjaya ditahan semula pada 16 April lalu di Taman Kurnia Jaya, di sini.

Terdahulu, peguam Ariyani Mohd Amin yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara minimum dikenakan.

“Dia juga mohon dipindahkan ke Penjara Marang, Terengganu kerana mendakwa dibuli banduan lain (di Penjara Pengkalan Chepa),” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin memohon hukuman setimpal kerana melarikan diri dari penjara adalah kesalahan serius.

Berita berkaitan

Banduan bolos direman

Banduan bolos diburu

Belum jumpa banduan bolos

Banduan bolos kena tangkap akhirnya

Disiarkan pada: April 22, 2018 @ 2:13pm
d