mutakhir

Masih takut lihat mercun bola

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

“Saya masih trauma dengan kejadian mercun bola meletup di tangan tiga tahun lalu yang menyebabkan saya hilang empat jari sebelah kanan,” kata Muhammad Rizaimie Zamri, 18, mangsa mercun bola pada Jun 2015.

Muhammad Rizaimie berkata, dia tidak dapat melupakan kejadian itu sehingga kini kerana ia menyebabkan empat jari iaitu ibu jari, jari tengah, manis dan telunjuknya kudung.

“Akibat kejadian itu, saya hilang upaya kekal apabila tidak dapat menggunakan tangan kanan dengan sempurna dan terpaksa berhenti sekolah kerana tidak dapat menulis, selain hilang keyakinan diri untuk berdepan dengan rakan.

“Saya kini takut melihat mercun bola kerana ia amat berbahaya dan menyebabkan kecacatan kekal kepada diri.

“Kemalangan itu akan kekal dalam ingatan dan menjadi pengajaran berguna kepada diri supaya tidak bermain mercun bola dan bahan api berbahaya,” katanya ketika ditemui rumahnya di Kampung Kubang Palas, Wakaf Bharu, hari ini.

Mengimbas kembali detik hitam itu, katanya, kejadian berlaku ketika dia bersama lima rakan bermain mercun bola berdekatan rumahnya di Kampung Kubang Palas, Wakaf Bharu, sebelum ia meletup dalam tangannya.

“Kejadian itu mengakibatkan empat jari saya hancur dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) hampir dua minggu.

“Jadi, saya menasihatkan orang ramai terutama kanak-kanak dan remaja supaya tidak bermain mercun di bulan Ramadan kerana ia berbahaya serta boleh menyebabkan kita hilang jari dan mengancam nyawa,” katanya.

Berita berkaitan:

Hilang hujung 4 jari tangan

Empat hujung jari hancur

Disiarkan pada: May 29, 2018 @ 3:29pm
d