mutakhir

[UPDATE] Polis nafi tidak siasat ibu mangsa dera

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

KETUA Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman menafikan dakwaan kononnya polis tidak bertindak dalam kes penderaan dilakukan ibu kandung kepada anak lelakinya, Muhammad Luthhakim Abdullah, pada 2016.

Beliau berkata, sebaliknya polis sudah melengkapkan kertas siasatan dan menghantarnya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk didakwa di mahkamah.

“Kita hantar kertas siasatan pada Timbalan Pendakwa Raya untuk kes dibawa ke mahkamah...mereka (Timbalan Pendakwa Raya) yang akan teliti kes sama ada cukup bukti dan sebagainya sebelum pendakwaan dijalankan.

“Bagaimanapun, kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) oleh Timbalan Pendakwa Raya mungkin atas alasan kekurangan bukti,” katanya pada sidang media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, hari ini.

Rosli mengulas mengenai dakwaan netizen dalam laman sosial seolah-olah memberi gambaran pihaknya mengambil tindakan sewajarnya kepada wanita berkenaan.

Dalam kejadian kelmarin, Muhammad Luthhakim, 10, disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan beberapa kesan lebam dan kecederaan lama akibat didera ibu kandungnya.

Hasil bedah siasat mendapati berlaku pendarahan pada saluran makanan mangsa yang disebabkan oleh pecah salur darah atau ulser pada esofagus akibat berlaku pukulan.

Ekoran kejadian malang kepada murid Tahun Empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Ching Kuantan itu, wanita berusia 29 dan suaminya berusia 30 tahun direman seminggu bagi membantu siasatan kematian anak mereka.

Rosli berkata, ibu kandung mangsa itu pernah ditahan pada 2016 kerana dipercayai mendera mangsa dan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau berkata, apabila sesuatu kes diklasifikasikan sebagai NFA, maka polis perlu membebaskan suspek.

Berita berkaitan

'[UPDATE] 'Terkejut anak saudara mati didera'

'[UPDATE] Ibu, bapa mangsa dera direman seminggu [METROTV]'

'[UPDATE] Kesan melecur pada kemaluan mangsa'

'Ibu jenis apa kau ni...'

Disiarkan pada: July 11, 2018 @ 2:28pm
d