mutakhir

Faktor keselamatan bukan punca insiden lemas

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

FAKTOR keselamatan bukan punca utama kejadian dua peserta Port Dickson International Triathlon (PDIT) 2018 lemas di Pantai Batu 5, Port Dickson, semalam.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata, ini kerana pihak penganjur meningkatkan dua kali ganda ciri keselamatan dalam pertandingan bertaraf antarabangsa kali ini.

“Pihak penganjur, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, Majlis Perbadaran Port Dickson (MPPD) dan beberapa agensi lain yang terbabit, mengadakan beberapa sesi taklimat keselamatan sebelum pertandingan bermula.

“Dalam kejohanan kali ini, ciri keselamatan dipertingkatkan lagi dengan menambah jumlah kayak untuk pemantauan daripada lapan sebelum ini kepada 16.

“Selain itu, pihak penganjur menggunakan jet ski dan mendapatkan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengadakan pemantauan di kawasan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Mahasiswa Bebas Dadah di Kolej Universiti KPJ Healthcare di Kota Seriemas, Seremban, hari ini.

Semalam, dua peserta PDIT 2018 lemas di Pantai Batu 5, Port Dickson di mana mayat Tharm Wei Wong, 39, dari Pulau Pinang ditemui jam 8 pagi semalam, manakala mayat peserta dari Hong Kong, Yuen Chi Yuen, 42, ditemui jam 7.57 pagi hari ini.

Katanya, insiden yang berlaku semalam bukan kerana masalah keselamatan, sebaliknya lebih kepada keadaan cuaca yang tidak elok.

Sementara itu, Aminuddin berkata, pihaknya dimaklumkan kejohanan edisi ke-17 itu tidak mendapat kebenaran daripada Suruhanjaya Sukan.

Oleh itu katanya, pihaknya sudah menghantar wakil daripada Jabatan Belia dan Sukan negeri untuk berbincang dengan suruhanjaya terbabit bagi penjelasan lanjut.

“Kita tidak akan hentikan mana-mana aktiviti yang sudah dirancang tetapi akan mendapatkan segera kebenaran daripada Suruhanjaya Sukan,” katanya.

Berita berkaitan

Mayat peserta triatlon ditemui

'Ini tragedi, bukan cuai' - MB

KBS arah siasat insiden lemas

Peserta triatlon Hong Kong dikhuatiri lemas

Peserta triatlon lemas

Disiarkan pada: July 16, 2018 @ 7:25pm
d