mutakhir

Pemandu treler direman dua hari [METROTV]

Oleh Zahratulhayat Mat Arif

PEMANDU treler yang dipercayai merempuh sebuah kereta hingga mengakibatkan lima mangsa rentung dalam kemalangan di Kilometer 255.1 Lebuhraya Utara-Selatan, Sabtu lalu, direman dua hari, mulai hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Noorhidayah Mohd Saad di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, pagi ini.

Suspek berusia 41 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media sebelum ini melaporkan ujian saringan air kencing terhadap pemandu treler berkenaan mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

Dalam kejadian jam 11.47 pagi, lima mangsa termasuk seorang kanak-kanak yang belum dikenal pasti identiti ditemui dalam keadaan rentung selepas Kia Forte dinaiki dirempuh treler berkenaan di lorong kanan lebuh raya terbabit.

Kemalangan itu turut membabitkan dua lagi kereta iaitu Perodua Myvi dan Proton Iswara, namun kedua-dua kenderaan itu selamat.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim yang ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar semalam berkata, pemandu treler mendakwa dia cuba mengelak daripada merempuh kereta di hadapannya berikutan gagal mengawal kenderaan berat itu sebelum memasuki ke lorong kanan lebuh raya.

Katanya, susulan kejadian, treler berkenaan merempuh tiga kereta di lorong kanan, namun Kia Forte dinaiki lima mangsa terhimpit di antara penghadang jalan konkrit dan treler itu sebelum terbakar.

Berita berkaitan

[UPDATE] Pemandu treler positif dadah juga...

PLUS mohon maaf

Pemandu treler pernah disaman 13 kali

[UPDATE] Lima rentung sebenarnya...[METROTV]

Disiarkan pada: October 8, 2018 @ 11:39am
d